Menonton
filem seram dari Malaysia tidak kurang hebatnya berbanding filem seram
Hollywood. Namun filem seram ini adalah bergantung kepada bagaimana
sesebuah prosedur mahu menyampaikan jalan cerita yang kemas dan menarik.
Menyentuh tentang filem genre seram, tahukah anda siapakah yang menjadi
ilham watak Norman Bates dalam “Psycho”? Apa sebenarnya yang menjadi
inspirasi bagi penghasilan anak patung pembunuh Chucky dalam “Child’s
Play”? Apakah kejadian yang menyebabkan Bram Stoker menghasilkan
“Dracula” dan seterusnya diadaptasi ke bentuk filem? Berikut merupakan
kisah-kisah sebenar yang menjadi ilham bagi penulis dan pengarah filem
menghasilkan karya seram mereka.
THE HILLS HAVE EYES (1977)
Ilham: Sawney Bean
Pada tahun 1977, Wes Craven telah menghasilkan sebuah filem seram ngeri
bertajuk “The Hills Have Eyes”, berkisar tentang sebuah keluarga yang
terkandas di gurun Nevada dalam perjalanan percutian mereka yang
akhirnya menjadi buruan sekumpulan puak kanibal mengerikan yang tinggal
di bukit-bukau sekeliling mereka.
Wes Craven telah menghasilkan filem yang telah dibuat semula pada tahun
2006 ini berdasarkan kisah legenda Sawney Bean yang merupakan pemimpin
bagi sebuah klan 48 orang ahli (8 orang anak lelaki, 6 anak perempuan,
16 cucu lelaki dan 14 cucu perempuan) yang tinggal di Scotland pada abad
ke-15 atau 16. Dikatakan Bean dan keluarganya telah membunuh dan
memakan lebih 1000 mangsa dan kisahnya telah dipaparkan dalam The
Newgate Calendar – katalog jenayah Penjara Newgate di London.
NATURAL BORN KILLERS (1994)
Ilham: Starkweather & Fugate
Oliver Stone telah menghasilkan sebuah filem berjudul “Natural Born
Killers” pada tahun 1994, mengenai dua orang kanak-kanak yang telah
berhadapan peristiwa sukar dalam hidup mereka dan membesar sebagai
pembunuh bersiri yang gila. Filem ini dinamakan sebagai filem kelapan
paling kontroversi sepanjang zaman oleh Entertainment Weekly dan
terkenal kerana imejan ganas yang ditonjolkan.
Oliver Stone dikatakan telah mencipta kisah ini berdasarkan kisah
sebenar tentang Charles Starkweather dan Caril Ann Fugate. Pada tahun
1956, Charles, 18, telah berkenalan dengan Fugate yang ketika itu
berusia 13 tahun. Pada tahun berikutnya dia telah merompak sebuah kedai
dan membunuh pekerjanya. Pada tahun 1958 pula, Starkweather telah
membunuh ibu, bapa tiri dan adik Fugate yang berusia dua tahun. Dalam
perbicaraan di mahkamah, Fugate tidak mengaku turut serta dalam
pembunuhan tersebut tetapi mengakui yang dia membantu dalam menguburi
jasad ahli keluarganya. Sebelum ditangkap di Douglas, Wyoming, pasangan
tersebut telah membunuh 11 orang mangsa dalam masa dua bulan.
Starkweather telah dihukum mati (dengan kerusi elektrik pada tahun 1959)
sementara Fugate menerima hukuman penjara seumur hidup dengan parol.
Fugate menjadi penjenayah wanita paling muda dalam sejarah yang
dibicarakan untuk jenayah kelas pertama.
CHILD’S PLAY (1988)
Ilham: Robert The Doll
Filem “Child’s Play” bukan sahaja menjadi filem yang hit ketika
ditayangkan pada tahun 1988, malah masih lagi menjadi filem pilihan
ramai untuk ditonton beramai-ramai dan telah menakutkan lebih jutaan
budak-budak di seluruh dunia. Filem ini berkisar tentangChucky, anak
patung Good Guy Doll yang telah dimasuki oleh roh seorang pembunuh
bersiri bernama Charles Lee Ray. Chucky kemudiannya telah dihadiahkan
kepada seorang budak lelaki berusia enam tahun oleh ibunya yang tidak
tahu tentang perkara tersebut.
Sebenarnya, Chucky telah diilhamkan daripada sebuah anak patung sebenar
yang dikenali sebagai Robert the doll. Ia merupakan sebuah anak patung
yang dimiliki oleh seorang pelukis/penulis bernama Robert Eugene Otto.
Ia diberikan kepada Otto pada tahun 1904 oleh seorang jururawat
berbangsa Jamaica yang mempunyai kepakaran dalam ilmu hitam dan voodoo
ketika dia masih kecil. Ramai yang mengatakan mereka pernah nampak anak
patung tersebut bergerak dari satu tingkap ke satu tingkap yang lain dan
berbual dengan Otto dan memiliki tawa yang menyeramkan. Kini anak
patung tersebut boleh ditemui di Muzium Fort East Martello di Key West.
Ada yang mengatakan sekiranya anda mahu bergambar dengan Otto, anda
perlu meminta izinnya terlebih dahulu. Sekiranya ia tidak bersetuju
(kepalanya akan bergerak ke satu arah), anda perlu teruskan perjalanan….
atau ia akan menyumpah keluarga anda!
THE SHINING (1980)
Ilham: Hotel Stanley
Pada tahun 1977, Stephen King telah menerbitkan sebuah novel bertajuk
“The Shining” – tentang seorang bapa yang telah membawa keluarganya
tinggal di sebuah hotel pada musim ribut salji kerana bertanggungjawab
untuk menjaga hotel tersebut sementara ia diberhentikan buat sementara
waktu. Pada tahun 1980, Stanley Kubrick telah membeli hak untuk
menghasilkan sebuah filem dan menjadi antara filem seram paling diingati
di Hollywood.
King telah menghasilkan novelnya berdasarkan pengalamannya sendiri
tinggal di sebuah hotel yang bernama Hotel Stanley. Ia merupakan sebuah
hotel yang dibina oleh Freelan O. Stanley pada tahun 1909 dengan 138
bilik di Estes Park, Colorado. Ramai orang terkenal yang telah menginap
di hotel ini, termasuk Margaret Brown, John Philip Sousa, Theodore
Roosevelt, Maharaja Jepun dan personaliti Hollywood yang lain sebelum ia
mula dikenali sebagai hotel yang berhantu,.
Sekitar Halloween 1974, King dan isterinya Tabitha memutuskan untuk
pergi bercuti di Hotel Stanley dan telah ditempatkan di bilik 217 yang
dikatakan berhantu. Pada malam pertama mereka di sana, King bermimpi
anak lelakinya berlari di sepanjang koridor hotel, memandang ke belakang
dengan mata yang terbeliak sambil menjerit kerana dikejar hos bomba.
Hal itu akhirnya dijadikan satu daripada babak novel dan filem “The
Shining”.
DRACULA (1892/1997)
Ilham: Vlad the Impaler
Seorang lagi penulis terkenal, Bram Stoker telah menghasilkan sebuah
novel pada tahun 1897 dan diberi judul “Dracula” – tentang seekor
pontianak ikonik yang bernama Count Dracula. Novel tersebut kemudiannya
telah diadaptasi berkali-kali menjadi sebuah filem termasuk pada tahun
1992 dan dilakonkan oleh Gary Oldman.
Stoker sebenarnya menghasilkan Dracula berdasarkan sejarah seorang
putera Wallachia bernama Vlad III atau Vlad Dracul. Vlad III merupakan
pemerintah pada tahun 1456 – 1463 dan menghabiskan masanya melawan dan
cuba menakluk Empayar Uthmaniyah.Dalam pertempuran, dikatakan Vlad akan
menangkap musuhnya dan menusuk mereka dengan kayu pancang. Tekniknya
yang kejam itu memberikan reputasi kepadanya sebagai seorang pemimpin
yang ganas (sekaligus gelaran The Impaler). Pada tahun 1459, Sultan
Mehmed II dari Empayar Uthmaniyah berjaya menakluk Wallachia. Vlad
berjaya melarikan diri dan membunuh lebih ramai tentera Turki dalam
pelariannya.
THE EXORCIST (1973)
Ilham: Kes Rasuk 1949
“The Exorcist” merupakan filem adaptasi karya William Peter Blatty yang
diterbitkan pada tahun 1971 dan diarahkan oleh William Friedkin.
Terkenal dengan kisah seorang budak perempuan yang telah dirasuki
syaitan dan menjadi filem seram ikonik Hollywood, ia dikatakan telah
diilhamkan daripada sebuah kes rasuk pada akhir tahun 40-an.
Pada 20 Ogos 1949, akhbar Washington Post telah menerbitkan satu artikel
yang berjudul “Paderi Membebaskan Budak Lelaki Mt. Rainier yang
Dirasuki Syaitan”. Ia melaporkan tentang seorang budak lelaki dari
Maryland yang telah diselamatkan oleh seorang paderi Katolik melalui
upacara menghalau syaitan. Beberapa siri artikel telah diterbitkan
tentang kejadian tersebut tidak lama kemudian.
No comments:
Post a Comment