Sahabatku,
aku juga rindu kamu. Bahkan tersangat rindu. Andai sahaja kau tahu
betapa aku rindu waktu kita dahulu. Andai sahaja kau tahu ada sahamnya
kamu dalam setiap tadahan tanganku. Andai sahaja dapat aku
memberitahumu.
Kau kata, kau malu. Malu dengan diriku waktu
ini. Malu dengan penampilanku serupa ini. Malu dengan sifatku sekarang
ini. Aku sudah berubah. Malah sudah jauh berubah. Sedangkan kau masih di tempat yang sama setelah sekian lama.
Sahabatku, aku pinta. Jangan malu denganku. Malulah kamu dengan
Tuhanku. Kerana aku juga sepertimu. Seorang insan biasa, seorang hamba
kepada Tuhannya. Aku ini tiada istimewanya. Aku hina. Banyak dosanya.
Tidak terhitung jika mahu dikira setiap satunya.
Aku punya pilihan. Aku pilih jalan ini. Aku pasti. Tidak akan pernah berpatah kembali.
Tahu, kau juga punya pilihan. Pilihan untuk mengubah hidupmu. Kau juga
boleh berubah. Seperti aku, seperti dia, seperti yang lainnya. Tiada apa
yang mustahil. Cuma yang menentukan perubahan apa yang kau pilih. Jalan
apa yang kau pilih untuk ikuti.
Kalau benar kau mahu berubah.
Pasti akan ada pintu yang Tuhan buka untuk membantu. Pintu-pintu yang
kau sendiri tidak sangka akan bertemu dari tempat yang tidak pernah kau
tahu. Aku juga pasti, Tuhan akan menghantar orang-orang yang baik untuk
bersamamu. Dalam apa jua keadaan, mereka tetap akan teguh bersamamu.
Menghulurkan tangan membantu, mengangkat apabila tersungkur, menyedarkan
dari kealpaan indah dunia itu. Mereka yang akan bersamamu. Bersusah
payah mempimpinmu untuk berubah.
Sahabat, andai
sahaja kau tahu indahnya hidup ketika diri sujud menghadap Ilahi. Andai
sahaja kau tahu indahnya perasaan ketika ditemani dengan redha dan
syukurmu terhadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu keindahan sebenar dunia
apabila sentiasa ditemani bayangan mati.
Aku pasti.
Bahawa kau tidak akan berlengah lagi. Kau tidak akan berkata sekejap lagi. Kau tidak akan tunggu tibanya nanti.
Aku pasti.
Kau akan bersujud tika ini. Kau akan memohon ampun saat ini. Kau akan
redha atas ketentuan hidup yang diberi. Kau tidak akan pernah berniat
untuk kembali kepada kehidupan indah lampau yang hanya berdasarkan
duniawi.
Itu, aku pasti. Malah tersangat pasti.
Andai
sahaja dapat aku terangkan perasaanku ketika ini. Andai sahaja dapat aku
berkongsi sedikit rasa hati. Andai sahaja dapat aku beri rasa indah
ini. Pasti sudah aku beri. Pasti sudah aku kongsi.
Aku mahu kau
rasa perasaan itu. Perasaan indah mencintai Ilahi. Perasaan indah yang
langsung tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Perasaan yang
langsung tiada tolok bandingnya.
Andai sahaja dapat aku kongsi.
Sahabat, aku mahu kau tahu. Kau sentiasa ada dalam doaku. Aku mahu kau
tahu. Yang aku sentiasa mendoakanmu untuk menemukan jalan terindah dalam
hidupmu. Aku mahu kau tahu, aku mahu jadi temanmu. Selamanya. Hingga ke
syurga.
Kamu janji, tunggu aku ya?
- Artikel iluvislam.com